Fitnah jahat : Anwar hantar surat tuntutan kepada pemimpin PAS

 


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu lagi surat tuntutan maaf susulan dakwaan beliau menerima RM15 juta bagi khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor.

Surat tuntutan itu dikemukakan terhadap Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu mewakili Parti PAS.

Peguam Anwar, SN Nair & Partners dalam surat tuntutan itu berkata, tuduhan dilontar Amzad dirakam dalam satu video di TikTok.

Ahmad Amzad turut berkata pengampunan diraja terhadap Anwar pada 2018 membuktikan beliau bersalah atas tiga tuduhan, iaitu satu melibatkan salah guna kuasa, dan dua berkaitan liwat.

Peguam menegaskan kenyataan Amzad itu tidak benar, memfitnah dan berniat jahat lebih-lebih lagi dakwaan “RM15 juta” itu telah dinafikan oleh kerajaan negeri Selangor.

Malah kenyataan dibuat Amzad itu menghina institusi Raja-raja Melayu, dan mencabar keputusan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V untuk memberi pengampunan penuh terhadap Anwar, seperti termaktub dalam perlembagaan.

Anwar dilantik penasihat ekonomi negeri pada 2009,setahun selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum ke-12.

Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli menafikan tuduhan Anwar menerima RM15 juga sambil menegaskan presiden KEADILAN itu hanya menerima “gaji simbolik” RM1 untuk khidmatnya, malah perkara itu jelas tertera dalam Hansard DUN Selangor.

Susulan itu Anwar menurut peguamnya menuntut Amzad menarik balik video serta kenyataan itu secara umum, selain memohon maaf tanpa syarat dalam tempoh lima hari, atau berdepan tindakan undang-undang.

Amzad juga dituntut membuat aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen berkenaan, dan jika gagal berbuat demikian perintah injunksi, ganti rugi dan kos akan dimohon terhadapnya.

Anwar mahu Amzad buat permohonan maaf
“Sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan,” menurut notis itu.

BACA: Anwar hantar surat tuntutan kepada Mahiaddin

Pada Rabu Anwar menghantar surat tuntutan serupa kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Yassin yang menuduhnya menerima RM15 juta pada satu ceramah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai.

Dakwaan Mahiaddin itu turut dikongsikan di laman Tik Tok dan mendapat tontonan lebih 1,100,000 kali
 

Post a Comment

0 Comments