Sidang hibrid DUN Selangor akan dijadikan contoh - Speaker Dewan Rakyat

KERAJAAN Negeri Selangor merupakan negeri pertama meluluskan pindaan peraturan tetap berhubung pelaksanaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara hibrid.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pindaan itu membolehkan Menteri Besar memohon kepada Speaker DUN untuk mengadakan sidang secara dalam talian ketika darurat atau keadaan luar jangka.

"DUN Selangor sudah mendahului dengan mengadakan peraturan-peraturan mesyuarat yang membolehkan persidangan berlaku tanpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) duduk secara fizikal di dewan.
 
"Ini sudah diikuti dengan bagaimana undang-undang atau enakmen itu boleh dilaksanakan dan bersifat 'legal' walaupun (ADUN) tidak duduk secara fizikal dengan meminda beberapa peraturan mesyuarat, ini membolehkan persidangan berlaku," katanya dalam satu sidang media.

Beliau sebelumnya mengadakan lawatan kerja ke DUN Selangor di Shah Alam pada Rabu.

Mengulas lanjut Johari berkata, sidang secara hibrid boleh dilaksana contohnya ketika pendemik menyerang atau waktu kecemasan lain.

"Kita sudah lalui di mana di Parlimen dahulu, apabila COVID-19 menyerang..kita tidak boleh bersidang dan waktu itu tiada yang menyangka COVID-19 akan menyerang.

"Tetapi sekarang kita sudah lalui proses itu dan Selangor mendahului negeri lain malah Parlimen pun terkebelakang kalau dibandingkan dengan Selangor," jelasnya.

Justeru katanya, Parlimen Malaysia akan menjadikan langkah DUN Selangor sebagai panduan supaya perkara sama boleh dilaksana di Dewan Rakyat.

Malah perkara itu juga akan dibawa ke Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024 pada September nanti supaya boleh dicontohi negeri lain.

"Kita akan belajar dari Selangor, kita sudah ada draf tetapi kita akan gunakan garis panduan ini untuk memperhebatkan peraturan tetap kita supaya dapat ratifikasi beberapa masalah yang kita lalui," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments