Kerajaan akan lancar Akademi Industri, wujudkan 100,000 pekerja mahir


KEMENTERIAN EKONOMI
akan melancarkan Akademi Industri peringkat nasional pada suku ketiga tahun ini dengan program latihan berdasarkan keperluan sebenar pasaran kerja.

Menterinya, Rafizi Ramli, berkata sebagai permulaan, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan projek rintis membabitkan 10 syarikat besar dalam pelbagai bidang khususnya perkilangan.

Syarikat yang terbabit pula jelasnya akan membangunkan sendiri silibus dan program untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

"Kami bersetuju untuk memulakan proses pelancaran program Akademi Industri bersama 10 syarikat terlebih dahulu sebelum dilancarkan di peringkat kebangsaan dengan sasaran untuk meningkat 100,000 pekerja pekerja membabitkan 10,000 syarikat," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Rafizi menjelaskan akademi yang bakal ditubuhkan itu akan tertumpu kepada kekosongan dalam sektor perkilangan tertentu membabitkan jawatan juruteknik ke bawah.

Program berkenaan terbuka kepada pelajar lepasan sekolah, pelajar lepasan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), graduan dan bekas banduan.

"Akademi Industri menyediakan ruang kepada industri melatih pekerja dengan kemahiran dan teknikal berbanding hanya tertumpu kepada persijilan daripada institusi,' tambahnya.

Bagi memastikan latihan lebih menepati peluang kerja
Walau bagaimanapun Rafizi menjelaskan pihaknya ketika ini masih mengenal pasti 10 syarikat pertama yang bakal terlibat.

"Bagi menyokong program berkenaan, kerajaan akan menyediakan insentif untuk tempoh beberapa bulan pertama kepada peserta Akademi Industri, selain akan mengumumkan beberapa manfaat kepada syarikat berkenaan," tambah Rafizi.

Post a Comment

0 Comments