UJIAN teori bagi pengambilan lesen vokasional untuk kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dimansuhkan.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan perkara itu pada satu sidang media di pejabatnya pada Isnin berhubung penambahbaikan prosedur lesen vokasional.
Tambahnya, walaupun ujian teori itu dimansuhkan, pemohon masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.
"Apa yang kita tekankan adalah mereka mengambil kelas tetapi tidak diujikan secara teori. Ini sesuatu yang baharu dalam sistem perlesenan kita di mana ia akan memudahcarakan pemohon.
"Saya terima banyak keluhan daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) dan pemandu e-hailing kerana mereka terpaksa menunggu lama untuk mengambil ujian," katanya.
Sementara itu tambahnya, kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional juga akan dibenarkan secara dalam talian. Ia sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM), atau syarikat perniagaan pengantaraan berkelayakan yang dikawal selia JPJ.
![]() |
Langkah mudahkan urusan pemohon lesen |
“Pihak JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon,” katanya lagi.
Menyentuh lanjut keputusan baharu itu, Loke turut menjelaskan calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat lesen vokasional.
0 Comments