Geely bakal bangun AHTV di Perak, hasil lawatan PM ke China


LAWATAN rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini berjaya membawa pelaburan impak tinggi ke negeri Perak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan melabur RM30 bilion bagi pembangunan dan pengkomersialan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Pelaburan itu juga menurut Lih Kang, akan membuka lembaran baharu ekosistem penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia

"AHTV itu akan merangkumi rantaian nilai automotif dan mobiliti meluas, merangkumi pusat penyelidikan, pembangunan global berteknologi tinggi, perkhidmatan sokongan dan ekosistem berkaitan untuk industri kenderaan tenaga baharu di Malaysia," katanya pada Khamis.

Difahamkan pelaburan itu adalah komitmen pelaburan berjaya diraih Perdana Menteri dalam lawatan baru-baru ini.

Pada lawatan itu, 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China sekaligus meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur negara itu.

Selain Geely, Li Kang turut memaklumkan, dua lagi syarikat pengeluar EV akan datang melawat Malaysia pada Sabtu ini bagi menerokai peluang pelaburan.

Menurutnya, dua syarikat berkenaan tidak termasuk dalam komitmen pelaburan berjumlah RM170 bilion yang dipersetujui Malaysia-China dalam lawatan Perdana Menteri sebelum ini.

"Dua syarikat itu adalah China Harmony Auto Holding Limited dan GAC Aion New Energy Automobile Limited.
"Setakat ini tiada nilai pelaburan kerana kedua-dua syarikat itu datang bagi meneroka peluang perniagaan," katanya.


 Pelaburan impak tinggi berjaya dibawa ke Perak
Lih Kang turut memaklumkan, selain pelaburan di Perak, MOSTI turut menerima pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dari DC-Sciences Co Ltd, syarikat dari China untuk pembangunan pusat data di Sedenak, Johor.


Sebagai rekod, pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Anwar yang ketika itu bertanding di Parlimen Tambun berkata, beliau mahu 'melahirkan semula' Perak sebagai wilayah ekonomi seiring Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Untuk itu jelasnya, beliau akan berusaha membawa lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke negeri itu.


 

Post a Comment

0 Comments