BEKALAN ayam di seluruh negara untuk Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri akan datang akan dipastikan mencukupi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata jaminan itu boleh diberikan berdasarkan data terkini diperolehi dari Jabatan Veterinar serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Semua pemain industri yang terlibat juga jelasnya telah memaklumkan bekalan ayam cukup dan orang ramai tidak perlu bimbang.
"Kita sentiasa pantau isu bekalan ayam pada setiap hari. Ini tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MAFS dan Jabatan Veterinar.
"Ini (bekalan cukup) berdasarkan libat urus dan maklumat yang disampaikan kepada KPDN secara umumnya," katanya dalam satu program di Bazar Ramadan Perling Mall, Johor Bahru pada Ahad.
Terdahulu Salahuddin diminta mengulas dakwaan berlaku kekurangan bekalan ayam yang menyebabkan harga bahan mentah itu naik 20 sen.
Mengulas dakwaan itu Salahuddin berkata pihaknya memandang serius setiap aduan dan berharap maklumat berkaitan perkara itu diberikan secara terperinci kepada KPDN agar pihak penguat kuasa dapat melakukan pemantuan.
Bekalan Ayam cukup untuk sambut Aidilfitri |
"Nasihat saya kepada peniaga, patuhi arahan. Kerajaan letak harga kawalan untuk harga ayam RM9.40 sekilogram, harga siling ini perlu dipatuhi. Sekiranya berdepan masalah 'supply' atau perlu bantuan KPDN, kita sedia membantu," katanya.
0 Comments