K'jaan lancar IPR, bantu golongan B40 tambah pendapatan

KERAJAAN melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada Ahad bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, program itu akan memanfaatkan sektor awam, swasta dan masyarakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi sekaligus menangani kemiskinan dan ketidaksamaan dalam negara.

Mengulas lanjut inisiatif itu beliau berkata, ia terdiri dari tiga elemen iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) and Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

“Intan akan menyasarkan golongan berminat dalam bidang pertanian. Tanaman makanan dengan jumlah dagangan tinggi dan diimport seperti cili, halia dan jagung, akan ditanam.

“Untuk usaha ini, kerajaan akan membuka tanah kerajaan persekutuan seluas 800 ekar (324ha) bagi memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian.

“Bagi Insan, inisiatif itu bertujuan menjual makanan siap seperti sarapan dan makan tengah hari pada harga serendah RM2 melalui mesin layan diri. Ini akan memberi peluang kepada ramai untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya pada pelancarannya di Ampang semalam.

Turut hadir ketika pelancaran itu adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Rafizi turut menjelaskan bagi Ikhsan, inisiatif tersebut akan mengambil pekerja mahir dalam penyelenggaraan dan perkhidmatan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di sektor awam.

Sementara itu tambah Timbalan Presiden KEADILAN itu lagi, sehingga kini 2.91 juta keluarga telah dikategorikan sebagai B40 dengan sejumlah 126,372 keluarga didaftarkan miskin tegar di bawah sistem e-Kasih.

Inisiatif bantu rakyat tambah pendapatan
Melalui IPR, dianggarkan 150,000 orang mendapat manfaat sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

"Kerajaan perlu beralih daripada pemberian bantuan sekali saja dan menggunakan pendekatan disasarkan.

"Program awam lain akan diperkemaskan bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan mencapai sasaran membantu golongan miskin," tambahnya.
 

Post a Comment

0 Comments