PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri susulan pengumuman peruntukan RM5.6 bilion kepada negeri itu.
Menurutnya, walaupun jumlah itu kurang dari apa yang diharapkan, namun kerajaan negeri pimpinannya tetap menyambut baik pemberian peruntukan tersebut.
Malah Sarawak juga berbesar hati dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih sekolah dan klinik daif di negeri itu yang sememangnya perlu diberi perhatian.
“Kerajaan Sarawak memang hendak membantu rakyat termasuk dalam membina infrastruktur asas seperti projek jalan pesisir, jalan raya, bekalan api dan bekalan air.
“Saya sudah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan semua keperluan tersebut, tetapi jika (kerajaan) persekutuan hendak memberi peruntukan tambahan, memang dialu-alukan,” ujarnya dalam satu program di Kuching pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen berkata menerusi belanjawan itu, Sabah dan Sarawak akan memperoleh peruntukan pembangunan iaitu masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan RM1.2 bilion.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali turut melahirkan penghargaan atas pengumuman belanjawan itu.
Peningkatan pada peruntukan kali ini menurutnya membuktikan komitmen kerajaan persekutuan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak terjamin terutama sememangnya negeri itu memerlukan lebih banyak dana untuk pembangunan terutama di kawasan luar bandar.
![]() |
Peruntukan diumumkan dialu-alukan Sarawak |
“Secara peribadi, saya mengalu-alukan belanjawan 2023 apatah lagi Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion untuk pembangunan berbanding tahun lalu. Ini adalah satu peningkatan yang amat bagus sekali,” ujar dipetik laporan Utusan Borneo.
0 Comments