Terima kasih PM kerana dengar luahan penduduk - Khalid


BEKAS calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad berharap Kerajaan Perpaduan dapat mengusahakan penyelesaiaan adil dalam isu pembangunan Kampung Baharu di Kuala Lumpur.

Melalui satu keyataan media, Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata pemilik tanah terutama di Kampung Sungai Baru yang terkesan dengan projek pembanguna itu perlu dibela hak dan kepentingan mereka.  

“Pemilik tidak menentang pembangunan. Sebaliknya mereka ingin dilayani secara adil, sebagai pemilik sah dan bukan sebagai setinggan, jelasnya.

Kenyataan itu menyusul keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat yang menangguhkan arahan pengusiran penduduk oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) bertarikh 19 Disember lalu.

"Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap isu pembangunan Kampung Sungai Baru.

"Semoga kerajaan Perpaduan yang dipimpin HARAPAN dapat mengasaskan satu budaya politik baharu di mana kerajaan membela rakyat secara adil dan prihatin dan tidak lagi membuli rakyat demi keuntungan golongan kaya," katanya menyambut baik keputusan itu.

BACA:
PM arah tangguh pengusiran terhadap penduduk Kg Sg Baru


Melalui kenyataan sama, Khalid turut melahirkan rasa kecewa atas kegagalan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim dan kerajaan terdahulu yang pernah berjanji menyelesaikan isu dihadapi penduduk.

Menurut Khalid, Shahidan pernah membuat janji dalam kamar khas Parlimen untuk menyelesaikan isu dihadapi penduduk melalui "pakej Harmoni" dengan pendekatan 'menang-menang'.

"Namun amat mengecewakan pemilik terus dibuli oleh kerajaan Perikatan Nasional/Barisan Nasional dan Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan untuk merampas tanah mereka dengan dijanjikan pampasan yang terlalu rendah.

"Oleh kerana pemilik adalah Melayu, maka dianggap mereka boleh diperlakukan sesuka-hati oleh kerajaan Melayu Islam.

"Amat jelas kerajaan Melayu Islam PN/BN pada ketika itu hanya bercakap tentang Islam dan Melayu tetapi menindas rakyat Melayu," tegas Khalid dalam kenyataan tersebut.

Pada 26 Disember lalu, pendudukan merayu campur tangan Perdana Menteri supaya menangguhkan arahan pengusiran yang diserahkan kepada mereka.

Penduduk mendakwa arahan pengusiran itu adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Khalid harap penduduk tak lagi rasa dibuli

Tempoh singkat yang diberikan turut menyebabkan penduduk sukar menyewa atau membeli kediaman lain, apa lagi ada di kalangan penduduk belum menerima pampasan yang dijanjikan.
 
Tidak sekadar itu, kebanyakan penduduk terlibat turut tidak setuju kadar pampasan RM400 kaki perasegi yang ditetapkan oleh PTGWPK yang dakwa mereka jauh lebih rendah berbanding nilai semasa.

Post a Comment

0 Comments