PROJEK pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur ditangguhkan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha politik Perdana Menteri, Azman Abidin dipetik laporan Malaysia kini telah mengesahkan penagguhan projek itu semalam.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas penduduk kampung meminta Anwar campur tangan terhadap arahan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) untuk mengosongkan rumah sebelum 19 Januari ini.
"PM mengarahkan agar projek ini ditangguhkan sebulan atau sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan semula.
"Ia adalah untuk membolehkan satu rundingan semula dengan penduduk dan pihak yang berkepentingan dilaksanakan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk," katanya menurut laporan portal itu.
Pada 26 Disember lalu, pendudukan merayu campur tangan Perdana Menteri supaya menangguhkan atau membatalkan notis Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bertarikh 19 Disember yang meminta mereka berpindah dalam tempoh 30 hari.
Penduduk mendakwa pengusiran yang dibuat adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama ada penduduk yang dakwanya masih belum menerima pampasan walaupun telah diserahkan borang K (notis bahawa milikan tanah atau peletkhakan petak telah diambil)
Tempoh singkat yang diberikan turut menyebabkan penduduk sukar menyewa atau membeli kediaman lain.
Malah kebanyakan penduduk terlibat turut menyatakan pendirian tidak setuju kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh PTGWPKL.
Mereka berkata, penilaian oleh jabatan hartanah itu terlalu rendah sedangkan penilaian oleh syarikat swasta lebih tinggi.Penduduk kini dapat tarik nafas lega
Sebagai rekod, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru bermula sejak 2016 dengan melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru.
0 Comments