PM sangat prihatin kepada perjanjian MA63 - pemimpin Sabah


BEBERAPA tindakan dilaksana Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak bukti Perdana Menteri itu pemimpin yang mengambil perhatian terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif kepada pemberita selepas menghadiri Program Wam2Care bersama 300 mahasiswa dan mahasiswi Sabah baru-baru ini.

"Alhamdullilah dari semasa ke semasa, Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri dilihat sangat prihatin berhubung hal-hal dalam MA63," katanya.

Awal bulan lalu, Anwar  berkata, pemimpin perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu.

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun bagi memastikan jumlahnya lebih munasabah.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut mengumumkan supaya mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

Tidak sekadar itu, dalam usaha memartabatkan MA63, Anwar melalui persetujuan Kabinet memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri berkenaan sekaligus memudahkan sebarang rundingan mengenai bekalan gas di peringkat negeri, tanpa perlu menunggu Persekutuan.


Anwar kotakan janji untuk perkasa MA63
Sesuai dengan status Sabah dan Sarawak yang kini diangkat sebagai wilayah dan tidak lagi berstatus negeri, Perdana Menteri dalam lawatan rasminya ke Indonesia baru-baru ini membawa hasrat syarikat Malaysia meneroka peluang pelaburan di Ibu Kota Negara (IKN) baharu Indonesia iaitu Nusantara.


Langkah itu bagi memastikan limpahan pembangunan di Kalimantan dapat digarap sekaligus menjadikan kedua-dua wilayah Malaysia Timur itu akan lebih pesat membangun.

 

Post a Comment

0 Comments