RANCANGAN kerajaan membenarkan kemasukan 500,000 pekerja warga asing ke Malaysia tahun ini, tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, kata Menteri Sumber Manusia.
V. Sivakumar menjelaskan, sumber tenaga kerja itu bagi memenuhi permintaan membabitkan sektor-sektor tidak diminati oleh warga tempatan, antaranya dalam sektor perladangan, pertanian dan pembinaan.
“Kita mendapati amat sukar mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja di sektor-sektor ini.
“Kebergantungan kita pada pekerja asing dalam sektor ini amat tinggi, apabila tidak dapat ‘bekalan’ penawaran secukupnya akan mengganggu operasi sektor-sektor ini secara optimal dan mengakibatkan kerugian besar kepada agensi,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu ditemui pemberita pada majlis penyalaan tanglung di Perak malam tadi.
Sementara itu tambahnya, masalah kekurangan pekerja perlu diselesaikan segera terutama ketika negara sedang berusaha untuk pulih dari kelembapan ekonomi.
Lebih-lebih lagi setelah 700,000 pekerja warga asing pulang ke negara masing-masing ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini.
“Banyak perniagaan akan ditutup sekiranya tidak mempunyai pekerja yang mencukupi jadi sebelum keadaan menjadi parah, kita bekalkan tenaga kerja untuk operasi sektor-sektor yang memerlukan.
“Kerajaan akan mengambil langkah dalam usaha untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang dijangka melanda seluruh dunia,” katanya.
Langkah pastikan sektor kritikal tak terjejas |
0 Comments