Kukuh hubungan, PM akan adakan lawatan rasmi ke Singapura


SELEPAS mengadakan lawatan rasmi ke republik Indonesia pada 8 Januari lalu, Perdana Menteri dijadualkan akan mengadakan lawatan serupa ke negara jiran Singapura akhir bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui satu kenyataan media selepas mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya dari republik itu, Dr Vivian Balakrishnan yang isi kandungannya turut disiar agensi berita republik itu, mediacorp.

"Dr Zambry mendedahkan bahawa beliau dan Dr Balakrishnan saling menekankan betapa pentingnya usaha untuk terus mengukuhkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara itu dan ini termasuk usaha di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

"Kedua-dua menteri itu juga menyentuh tentang lawatan rasmi Anwar ke Singapura yang dijadualkan sebelum hujung bulan ini termasuk lawatan negara Presiden Halimah Yacob ke Malaysia yang dijangka akan diadakan pada Mac nanti," kata laporan itu.
 
Untuk rekod, menyusuli lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong pada 25 November mempelawa Anwar berkunjung ke republik itu.
 
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Lee berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Anwar dan kerajaan yang dipimpinnya untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin.

Mengakui mengenali Anwar selama beberapa dekad lalu, beliau berharap kerjasama itu dapat meningkatkan hubungan dua negara yang berkongsi hubungan sejarah, budaya dan interpersonal yang kukuh.

PM Singapura pelawa Anwar lawat republik itu
Sementara itu pada pertemuan antara Dr Zambry dan Dr Balakrishnan, selain membincangkan rancangan lawatan Anwar, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha menghuraikan isu-isu tertunggak secara harmoni dan mencari penyelesaian dengan cara baik untuk memelihara hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Post a Comment

0 Comments