NAIB PRESIDEN Amanah Mujahid Yusof memfailkan saman fitnah terhadap PAS berhubung dakwaan bekas menteri agama itu menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).
Tindakan sivil itu berkaitan satu tulisan yang mendakwa pertemuan Mujahid sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga hal-ehwal agama dengan aktivis transgender Nisha Ayub pada 2018 bertujuan “meraih sokongan” untuk komuniti LGBT yang disiar Facebook parti itu pada 16 Oktober lalu.
Kertas kausa saman dilihat Malaysiakini menamakan Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PAS sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa Takiyuddin atau PAS dengan niat jahat memuat naik hantaran untuk menjejaskan maruahnya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak mendakwa hantaran itu memfitnahnya kerana dia tidak pernah menyuarakan sebarang sokongan berkaitan golongan LGBT.
Justeru memohon mahkamah mengarahkan Takiyuddin atau PAS membuat permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan dalam akhbar harian Bahasa Malaysia serta laman Facebook parti itu, dalam tempoh 14 hari selepas mahkamah membuat keputusan.
“Dia juga memohon mahkamah mengarahkan mereka memadam kenyataan yang didakwa fitnah itu serta gambarnya dalam hantaran Facebook itu, serta mengeluarkan injunksi untuk menghalang mereka daripada mengulangani kenyataan tersebut.
“Dia menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, kos, kadar faedah tahunan lima peratus daripada pampasan bermula tarikh keputusan sehingga bayaran penuh dibuat, serta relif-relif lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah,” lapor portal itu. Tidak pernah nyatakan sokongan kepada LGBT
Sebagai rekod, pada 27 Oktober lalu Mujahid melalui firma guaman Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir menghantar surat tuntutan fitnah kepada PAS dan memberi mereka tempoh selama 48 jam untuk memadamkan tulisan yang dianggap sebagai fitnah itu.
0 Comments