Anwar henti amalan umum projek masa lawatan

 



PENTADBIRAN Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengumumkan sebarang projek baharu untuk negeri yang dilawatinya tanpa melakukan penelitian rapi terlebih dahulu.

Ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Perlis di Kangar semalam Perdana Menteri itu berkata, amalan seperti dilakukan sebelum ini perlu diubah.

“Bukan amalan saya datang kemudian umum projek. Kalau mahu umum projek, kena ada persetujuan di peringkat agensi pusat, kalau tidak, umum projek tetapi tidak ada apa perkara pun berlaku.

“Contohnya, berapa ratus projek diumum di Perlis belum pun dilaksanakan terutama sebelum pilihan raya. Saya tidak mahu meneruskan amalan itu. Kalau kita dah putuskan muktamad, baru kita akan lakukan,” katanya.

Langkah itu juga menurut Anwar bagi memastikan sesuatu projek yang mahu dijalankan boleh dilaksana dengan telus dan lancar serta mengelakkannya rancangan pembanguunan itu tidak berakhir sebagai' projek gajah putih'.

Dalam lawatannya semalam, Anwar berjanji bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan meminggirkan Perlis dalam soal pembangunan

Beliau menjelaskan akan bersama agensi pusat lain membangun projek-projek bagi mendatangkan hasil pulangan dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian di Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri.

Projek akan diteliti rapi sebelum umum
Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan juga akan mengadakan mesyuarat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersama agensi dan kerajaan negeri berkaitan bagi meneliti projek di bawah koridor ekonomi itu.

“Itu sebagai dasar yang kita akan lakukan. Jentera negeri serta persekutuan harus berunding betul-betul kerana kita berada dalam kekangan ekonomi. Hutang negara dianggar RM1.2 trilion dan hasil bertambah kecil manakala keupayaan belanja sangat terbatas,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments