PM kutuk provokasi bakar Al-Quran


MALAYSIA
mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar naskhah Al-Quran di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebooknya, berkata tindakan Islamofobia ahli politik itu merupakan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Justeru Malaysia mendesak Kerajaan Sweden untuk mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji itu.

Beliau turut mahu Sweden memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.  

“Penghinaan terhadap kitab suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia.

“…dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja Turki tetapi lebih daripada dua billion umat Islam di dunia,” katanya Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Semalam, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turki dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Melalui kenyataan sama, Anwar menegaskan Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling hormat-menghormati dalam penyelesaian pertikaian.

Tindakan Paludan dianggap provokasi terbesar
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak umpan perkauman atau agama dengan bertopengkan kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan untuk kebencian dan keganasan.
 
“Malaysia mengecam jenayah kebencian yang berulang-ulang menyasarkan umat Islam di dunia serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan dan pandangan dengan penuh kebimbangan terhadap gelombang pertuturan kebencian yang semakin meningkat kerana kepercayaan atau etnik,” kata Anwar.

Post a Comment

0 Comments