PM beri kuasa M'sia Timur kawal sendiri projek bawah RM50 juta

 


KEPUTUSAN pelaksanaan projek di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini berkata, dasar itu dipersetujui setelah bagi menangani isu projek tertangguh disebabkan kerenah birokrasi sehingga menyukarkan pelaksanaannya.

“Ada beberapa yang tertangguh umpamanya keputusan menyegerakan pelaksanaan beberapa projek. Walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) ada di Sabah dan Sarawak, tetapi kata putus banyak di Putrajaya.

“Walaupun peruntukan besar diberikan, tetapi tidak dapat dipenuhi kerana karenah pentadbiran mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk ke peringkat Persekutuan.

“Sebab itulah, keputusan boleh dibuat oleh kedua-dua negeri tanpa dilengahkan kerana sebelum ini tunduk kepada peraturan lama (merujuk kepada Persekutuan),” kata Anwar.

Beliau bagaimanapun menjelaskan segala keputusan berhubung projek boleh diputuskan oleh Sarawak dan Sabah namun masih perlu mengikut peraturan-peraturan kewangan.

Pada 21 Disember tahun lalu, kerajaan bersetuju memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Langkah mengurangkan karenah birokrasi
Pentadbiran Anwar dilihat secara serius menunaikan isu-isu berkaitan MA63 bagi mengatasi masalah pembangunan dan kemiskinan yang sering dibangkitkan rakyat di kedua-dua wilayah itu.

Dibawah pentadbirannya juga Anwar melantik seorang Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili suara rakyat di Sabah dan Sarawak.

Post a Comment

0 Comments