OpenDOSM jadi platform kongsi data telus dengan rakyat


PORTAL OpenDOSM NextGen yang diperkenal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan mengetengahkan konsep data terbuka dapat menjamin ketelusan, dan meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika merasmikan pelancaran OpenDOSM NextGen di Putrajaya hari ini berkata. portal diwujudkan atas inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu itu akan membantu kerajaan mewujudkan inovasi ekosistem perkhidmatan responsif dalam penyampaian data yang tepat terkini dan relevan sesuai kehendak rakyat.

Lebih dari itu, kewujudannya akan menjadi platform penambahbaikan kepada perkongsian data terbuka  yang akhirnya memberi kesan menyeluruh kepada rakyat dan penggubal dasar dalam melaksanakan pelbagai analisis dan rujukan.
 
"Menerusi kaedah data terbuka kerajaan, maklumat yang berkaitan dengan aktiviti kerajaan seperti perbelanjaan atau kontrak, boleh diakses oleh orang ramai. Ini membolehkan semak dan imbang yang lebih baik dan advokasi dasar yang lebih efektif serta memastikan pegawai awam lebih bertanggungjawab.

"Hal ini seterusnya dapat menjamin ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan kerajaan dalam mentadbir negara," katanyanya pada majlis yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin itu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, data terbuka yang akan dikongsikan kelak akan membolehkan masyarakat memanfaatkan semua sumber data secara kolektif dalam menjana pengetahuan baharu.

Selain itu mampu menjadi sumber berharga untuk tujuan penyelidikan sama ada penyelidikan asas dan gunaan.

"Melalui platform data terbuka, penyelidik boleh menjimatkan masa dan kos dengan menggunakan data terbuka sedia ada dan bukannya menerusi sumber primer mereka sendiri untuk menjalankan penyelidikan.

Mewujudkan ekosistem perkhidmatan responsif
"Data terbuka juga boleh memudahkan kerjasama dan penemuan yang lebih besar dalam kalangan penyelidik di pelbagai institusi," kata Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Beliau sementara itu menggalakkan pihak berkepentingan mengakses dan menggunakan data dikongsikan di portal berkenaan sebagai rujukan mereka sekaligus menjayakan usaha kerajaan memacu perkembangan transformasi data di negara ini.

Post a Comment

0 Comments