Dah lama berleluasa, KPDN akan gempur aktiviti kartel

 


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertekad untuk menggempur aktiviti kartel dalam sektor makanan dan pertanian pada tahun ini, kata Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ketika berucap merasmikan Siri Syarahan Kedua Profesor Richard Whish di Le Meridien Kuala Lumpur pada Khamis, beliau menegaskan aktiviti kartel sudah terlalu lama mengambil kesempatan ke atas rakyat dan kerajaan dan kini sudah tiba masanya kegiatan tidak bermoral itu dihentikan.
 
"Kartel dan monopoli tidak boleh dibenarkan untuk wujud kerana mereka mengganggu persaingan dalam pasaran demi faedah syarikat perniagaan, sekali gus mempengaruhi kos sara hidup," kata Ahli Parlimen Pulai itu.

Dalam masa sama jelasnya pelbagai usaha dan tindakan membendung kegiatan kartel telah dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) termasuk mengenakan penalti kewangan kepada pihak terbabit.
 
"Justeru saya menggesa MyCC memperhebat usahanya dalam menghapuskan kegiatan ini dan sebagai anggota Kabinet, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada MyCC untuk menghapuskan atau mengurangkan kuasa kartel dan monopoli," tambahnya.

Beliau sementara itu turut berharap MyCC akan juga memfokuskan kepada usaha mewujudkan penguatkuasaan kawalan penggabungan bagi memastikan pengguna tidak terjejas dengan monopoli baharu yang terhasil daripada penggabungan antara pemain utama industri.

Aktiviti kartel pengaruhi kos sara hidup
"Kita melihat impak penggabungan (berciri) besar di seluruh dunia dan di negara ini. Jika tidak dikawal, penggabungan akan turut digunakan untuk menyamari pembentukan kartel.

"Oleh sebab itu MyCC mendapat sokongan penuh saya dalam perkara ini dan bersama-sama, kita akan memastikan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dibentang di Parlimen secepat mungkin," tambahnya. 

Post a Comment

0 Comments