Negeri Sembilan tubuh NeSCOM bagi persediaan hadapi bencana


KERAJAAN Negeri Sembilan yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil pengajaran dari bencana banjir besar pada 2021 dengan menubuhkan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, NeSCOM ditubuhkan dengan peranan untuk menjadi pusat koordinasi maklumat dan logistik bagi pengurusan bencana negeri.

Penubuhan pusat koordinasi itu yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) di bawah keurussetiaan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan akan melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Meteorologi.

“Data yang dikumpulkan seperti paras air sungai, tanah runtuh, keadaan jalan, ramalan cuaca dan sebagainya akan dipaparkan di NeSCOM bagi tujuan kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.

“NeSCOM ini juga diwujudkan susulan kejadian banjir besar yang berlaku pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022 membabitkan beberapa daerah.

“Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan tempat tinggal, kehilangan harta malah mengakibatkan banyak infrastruktur yang dibina sebelum ini musnah.

"Terdapat kawasan putus hubungan jalan darat dan komunikasi iaitu tidak mendapat liputan internet disebabkan bekalan elektrik tidak berfungsi pada menara sedia ada.

"Kerajaan Negeri berpandangan NeSCOM ini merupakan nilai tambah kepada pengurusan pelan dan operasi bencana yang ada di seluruh negara. Maklumat yang cepat dan tepat bukan sahaja dapat membantu masyarakat tetapi juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan bencana,” katanya ketika merasmikan bangunan NeSCOM di Seremban.


Kerajaan tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana
Difahamkan kerajaan negeri telah peruntukan sejumlah RM350,000 di bawah Bajet Pembangunan Tahun 2022 bagi menaik taraf bangunan sedia ada yang dahulunya merupakan Rumah Kelab SUK yang kini dijadikan sebagai NesCOM.


Kerajaan negeri turut memperuntukan RM110,000 lagi untuk menambah aset penyelamatan iaitu melibatkan tiga buah bot bagi mengukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana pada masa depan.
 

Post a Comment

0 Comments