MB serah 30 bot, tingkat persediaan S'gor hadapi bencana


KERAJAAN NEGERI
Selangor yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil pengajaran dari bencana banjir besar pada 2021 dengan memperkukuh kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi bencana serupa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu membuat penyerahan 30 unit bot kembung kepada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah (PDT) di seluruh negeri itu

Penyerahan aset itu yang dilakukan secara simbolik kepada wakil agensi di lobi Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Setiausaha bahagian (khidmat pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Hanafi Ahmad berkata turut menerima aset berkenaan ialah polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Unit Pengurusan Bencana Negeri.

“Inisiatif melibatkan peruntukan berjumlah RM270,000. Harap sumbangan ini dapat membantu semua agensi melakukan tugasan ketika banjir,” kata dipetik laporan Selangorkini.

Pada 18 Disember 2021, tragedi banjir melanda Selangor telah mengorbankan 24 nyawa membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita.
 
Banjir terburuk itu susulan taburan hujan luar jangka dengan kawasan terjejas teruk adalah Taman Sri Muda, Shah Alam, Sungai Lui dan Taman Sri Nanding.

Pengalaman itu kemudian dijadikan panduan penambahbaikan dengan menggandakan persiapan dan jentera serta mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bencana.

Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi mengukuhkan tahap kesiapsiagaan bagi membeli aset termasuk alatan komunikasi seperti telefon satelit untuk kegunaan ketika bekalan elektrik terputus.

S'gor ambil pengajaran dari bencana 2021
Usaha itu turut mendapat sokongan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, pada Oktober lalu Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (KUSEL) turut menyumbang peralatan operasi musim banjir kepada PBT dan PDT.

Sumbangan meliputi 14 unit penjana kuasa elektrik mudah alih, 14 unit jet pembersih dan bot keselamatan bagi melancarkan operasi menyelamat.

Post a Comment

0 Comments