Mat Sabu rasa simpati atas sikap Abdul Hadi


PRESIDEN
Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu melahirkan rasa simpati kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Bercakap ketika menyampaikan ceramah dalam Karnival Jelajah Perpaduan Rakyat di Padang Awam, Taman Kota Nelayan di Kuala Kedah baru-baru ini, Mohammad berkata di penghujung umurnya, Ahli Parlimen Marang itu pada pandangannya bertukar menjadi individu yang suka berbohong.

“Saya hormat sepenuhnya ulama khasnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Noor serta ulama-ulama lain di Kedah ini.

"Abdul Hadi ini juga seorang ulama tetapi kesian kerana di hujung umur ini beliau suka berbohong dan pembohongan itu orang Melayu percaya," katanya dipetik laporan Utusan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menjadikan keputusan kerajaan terdahulu yang disertai PAS menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali sebagai contoh pembohongan itu, sedangkan parti itu jelasnya sering menggunakan agama bagi menarik sokongan pengundi.

Sementara itu tambah beliau, kalangan orang Melayu terutama anak muda sering terperangkap dan menjadi mangsa pembohongan tambahan apabila mereka dihasut dengan kenyataan berunsur perkauman.

“Dalam PRU15, PAS paling banyak duit sampai saya pun hairan.

"Wang dan propaganda bohong inilah yang memerangkap persepsi orang Melayu kononnya mereka dalam bahaya, DAP nak kuasai Malaysia, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan sebagainya.

“Mereka hidup atas pembohongan yang memerangkap anak-anak muda. Ada juga pihak yang berkempen kononnya kalau Pakatan Harapan (HARAPAN) menang, pelajar kena pakai skirt,” tambahnya.

Sebagai rekod, Mohammad Sabu pernah berada dalam PAS selama lebih 37 tahun serta menjawat beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Presiden Parti itu.

Beliau kemudian bersama rakan-rakannya meninggalkan parti itu bagi menubuhkan parti Amanah.

Budaya takfiri dan menghalalkan darah dalam PAS dakwanya antara punca beliau dan sebahagian pimpinan meninggalkan parti itu. 

Sementara itu Mohammad berkata, sikap ekstrem ditunjukkan PAS kini telah menyebabkan parti-parti politik lain enggan bergabung dengan mereka kerana mendatangkan ketakutan kepada pihak lain.

“Ini berbeza dengan Anwar yang mana beliau dalam perutusan tahun baharu kemukakan surat Saidina Ali Abi Talib kepada Gabenor Mesir, Malik Al-Ashtar yang menekankan pentingnya prinsip tatakelola dan tadbir urus baik.

Mat Sabu dakwa Abdul Hadi kuat berbohong
Itu jelas menunjukkan beliau mahu mulakan sesuatu iaitu mewujudkan nilai-nilai Islam pada umat Islam.

“Tetapi di pihak satu lagi hanya kerana nak menang PRU, maka buat tuduhan kamu itu komunis dan kamu LGBT. Apa dasar hendak dikemukakan pun kita tak tahu,” katanya menurut laporan itu. 

Post a Comment

0 Comments