PROGRAM Pemukiman anggota Jemaah Menteri yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam telah menterjemah hasrat Perdana Menteri untuk membawa agenda Islah dalam pentadbirannya.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan berkata, program dihadiri 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan itu telah diisi dengan sesi taklimat khas bagi pemantapan penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan tadbir urus jentera kerajaan.
Beberapa perkara termasuk Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian telah dibincangkan.
Selain itu isu-isu berkaitan Persidangan Antarabangsa dan Kepentingan Negara, Protokol Kerajaan dan Profesionalisme, Pembangunan Lestari, Senario Ekonomi dan Cabaran, serta perkara berkaitan Komunikasi Media turut disentuh pada pemukiman tersebut.
"Program ini selari dengan hasrat Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda Islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan," kata kenyataan tersebut.
Difahamkan, selain menentukan hala tuju kerajaan, pemukiman yang bermula jam 8.30 pagi itu itu juga bertujuan bagi memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Pertemuan itu hadir tidak sampai dua bulan selepas semua menteri memasuki kementerian masing-masing dan mula menjalankan tugas di bawah Kerajaan Perpaduan dipimpin Ahli Parlimen Tambun itu.
Selain Anwar, antara yang hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, ia turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
PM terjemah hasrat bawa agenda Islah |
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, turut menyampaikan taklimat Pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri semasa sesi permukiman sama yang berakhir 4.30 petang.
0 Comments