Langkah tangani isu penoreh terkesan kejatuhan harga getah dilaksana

  


KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dilapor telah mengadakan siri perbincangan bagi membantu pekebun kecil getah dalam mendepani kejatuhan harga bahan mentah itu.

Dalam kenyataan pada Ahad, KPK berkata, perbincangan rentas kementerian dan agensi dijalankan bagi memastikan program serta aktiviti lebih tuntas dapat dilaksanakan bagi tujuan meringankan beban dihadapi pekebun dan penoreh getah.

"Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terutama dalam mendepani kehidupan tatkala berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Dalam usaha membantu penoreh getah dan pekebun kecil getah, pihak kementerian dan LGM sudah mengadakan siri perbincangan membabitkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah," menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu media menyiarkan rintihan penoreh getah sekitar daerah Baling,Kedah yang mendakwa kehidupan seharian mereka terjejas akibat kejatuhan harga komoditi itu ke paras RM2.20 sekilogram dan mahu isu mereka diambil perhatian oleh kerajaan.

Sementara itu KPK menjelaskan, pelbagai faktor antaranya peningkatan bekalan getah asli dan penurunan harga minyak mentah yang mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli dalam pembuatan produk getah serta kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketidaktentuan daripada krisis Russia-Ukraine telah mempengaruhi kejatuhan harga getah.

Malaysia yang sekadar menyumbang empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia sememangnya tidak mempunyai kedudukan yang kuat  untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa.

Justeru antara usaha yang akan dilaksana kementerian adalah dengan memperkukuh Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bertujuan mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh.

“Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.

“Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta,” kata kenyataan tersebut.

K'jaan ambil perhatian keluhan penoreh getah
Kementerian turut akan memperkenalkan MyROL, satu satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian bagi memastikan urus niaga lebih telus yang akan mendorong pencapaian harga tawaran yang lebih kompetitif kepada pekebun kecil.

Dalam pada itu, KPK berkata, Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) juga memberi peluang kepada pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks.

Post a Comment

0 Comments