KPM tak kompromi jika wang bantuan hilang sebab kecuaiaan


KEMENTERIAN PENDIDIKAN
(KPM) memandang serius kes kecurian wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor.

Menerusi satu kenyataan, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihak kementerian sedang menyemak insiden berkenaan daripada segi prosedur dan tatacara pengeluaran wang berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Garis Panduan Bantuan Awal Persekolahan telah menetapkan tatacara pengeluaran wang tunai dari bank oleh pihak sekolah untuk jumlah melebihi RM10,000 mestilah dalam keadaan selamat dengan perkhidmatan polis pengiring.

“Ia berdasarkan Surat Pindaan Ke Atas Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan bertarikh 29 Disember 2022,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pindaan itu memberi peringatan kepada semua pengurus sekolah berkaitan pematuhan kepada Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah yang sedang berkuat kuasa.

Terdahulu pada Isnin, media melaporkan insiden kehilangan wang bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah yang disyaki disamun penjenayah.

Wang dipercayai dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih oleh pengetua sekolah pada pukul 10 pagi dan sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa namun hilang setelah tingkap kenderaannya dipecahkan.

Sementara itu Fadhlina Sidek berkata maklumat awal setakat ini mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kes berkenaan, namun menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk siasatan menyeluruh.

Di pihak kementerian tegasnya, kesalahan berkaitan hal-hal melibatkan pengurusan sekolah khususnya dalam perkara-perkara melibatkan prosedur dan tatacara kewangan sesekali tidak akan dikompromi.

"Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau tidak akur kepada arahan yang ditetapkan.

“Tindakan kepada pengetua pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini disiasat dengan teliti,” katanya.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai bantuan awal kepada pelajar sekolah terbabit, beliau menjelaskan ia akan dikembalikan melalui proses yang sepatutnya.

"Kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka. Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk SOP kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia (yang tertentu).

KPM akan pastikan pelajar dapat hak mereka
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilapor berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang.

Malah guru besar terbabit memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring pihak polis sejak 10 tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments