Berbilon ringgit bocor kepada parti, tokoh politik dakwa PM


SEGELINTIR
parti dan tokoh politik tertentu telah mengambil kesempatan dari kebocoran sistem untuk mengkayakan diri sendiri, dakwa Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengenal pasti berlaku kebocoran wang kerajaan antara RM3 bilion ke RM4 bilion yang 'dirompak' secara sistematik.

Ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan pada Selasa, beliau turut memberitahu kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan mungkin lebih RM10 bilion dan itu boleh dielakkan sekiranya kewangan negara diurus dengan baik.

"Mungkin kita boleh jimatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran daripada terus berlaku dalam sistem negara kita. Kita mesti yakinkan pelabur domestik dan luar negara,"
 
“Kadang-kadang rasuah ini sistemik. Yang atas beratus juta, yang bawah, puluh ribu. Jadi macam mana nak tangani dengan cara besar.

“Saya bincang dengan Kementerian Kewangan untuk tentukan kaedah pembelian senjata yang lebih profesional.

"Biarkan urusan (perolehan) untuk tentera udara, laut dan darat dipertanggungjawabkan mengusulkan jenis barangan terbaik, dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan dari politik atau kepentingan peniaga," katanya.

Rundingan telus boleh selamatkan wang negara
Turut hadir pada majlis itu ialah dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Sementara itu, Anwar berkata pendekatan dalam Bajet 2023 seharusnya adalah memulihkan keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mempercepatkan kelulusan pelaburan.

Memberikan contoh satu usul untuk memperkenalkan ladang organik oleh sebuah syarikat yang mengambil masa dua tahun mendapat kelulusan, Anwar berkata perkara seperti itu perlu dihentikan kerana ekonomi hijau adalah keutamaan untuk kemampanan ekonomi.

"Keupayaan memberi kelulusan harus lebih pantas dan ketua-ketua jabatan dipertanggungjawabkan sepenuhnya sekiranya berlaku kelewatan dan berdepan tindakan kerana menjejaskan ekonomi negara," katanya.

Post a Comment

0 Comments