KPM ambil maklum rungutan harga makanan di kantin meningkat

 


KEMENTERIAN Pendidikan mengambil maklum rungutan sesetangah ibu bapa yang mendakwa berlaku kenaikan harga makanan di kantin-kantin sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

Justeru pengusaha kantin sekolah tegasnya perlu merujuk garis panduan yang ditetapkan.

“Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

“Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah," katanya.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu sebelumnya ditemui  pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah yang terkesan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di Kuala Terengganu pada Selasa.

Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

“Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” kata Fadhlina lagi.

Sementara itu ketika mengulas lawatannya ke Terengganu beliau berkata,  jumlah kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh kementeriannya.

Bagaimanapun menurutnya,  peruntukan awal sudah disalurkan kepada sekolah yang teruk dan kritikal.

“Tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza, justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

“Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

Fadhlina buat lawatan kerja ke Terengganu
Pada lawatan kerja rasmi itu beliau sempat mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di Kediaman Seri Iman dan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan anak bangsa termasuk penegasan akhlak, adab dan pekerti mulia.

Beliau turut mengambil kesempatan mengadakan siri ziarah kepada warga pendidikan dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang diuji dengan mehnah kesihatan.


 

Post a Comment

0 Comments