K'jaan lanjutkan tempoh program Rekalibrasi Tenaga Kerja


KERAJAAN
bersetuju melanjutkan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga akhir tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.


Melalui satu kenyataan media, Saifuddin memberitahu keputusan untuk melanjutkan program itu dibuat pada Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Tawaran rekalibrasi itu jelasnya adalah terbuka kepada semua pekerja asing yang tiada dokumen lengkap termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Program ini mampu menyediakan keperluan tenaga kerja daripada tenaga asing yang sudah ada dalam negara kita.

“Mereka tampil, buat bayaran dan kemudian dibenarkan untuk bekerja. Maknanya, sektor pekerjaan terisi, majikan ada pekerja, mereka yang dokumen tidak sempurna kita bantu, sektor kritikal pun ada pekerja.
 
“Melalui rekalibrasi tenaga kerja, kerajaan menjana lebih RM700 juta (daripada kompaun dibayar). Selain itu, kita dapat kenal pasti mereka kerana rekod sudah ada dan kita kenakan bayaran yang kemudiannya menyumbang kepada dana kerajaan,” kata Senator Dewan Negara itu.

Sehingga 31 Disember lalu, seramai 418,649 orang PATI berdaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang PATI Mendaftarkan diri untuk Program Rekalibrasi Pulang.

Sebagai sebahagian usaha menangani isu PATI di negara ini, kerajaan menetapkan syarat-syarat yang lebih fleksibel untuk program kali ini.

Namun dalam masa sama kerajaan memberi jaminan tidak sama sekali menggadai pertimbangan kerajaan dalam membuat polisi ini dalam aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

“Aspek-aspek tapisan lain berhubung keselamatan tetap terpakai. Aspek kebajikan pekerja asing tetap terjaga dan sektor-sektor ekonomi dapat memenuhi keperluan mereka.

Aspek keselamatan rakyat tetap terjamin
“Kita faham akan ada kebimbangan (lambakan pekerja asing), kerajaan ada siling keperluan pekerja asing yang munasabah iaitu sejumlah 2.4 juta menjelang 2025 iaitu 15 peratus dari jumlah tenaga kerja negara.

“Keperluan kerancakan ekonomi hanya bagi sektor kritikal. Ada sektor belum dibuka pekerja asing supaya ia diutamakan kepada tenaga tempatan. Ia tidak mengambil peluang kerja rakyat tempatan kerana ia hanya bagi pekerjaan 3D, peluang kerja rakyat tempatan tidak terusik,” jelas Saifuddin.

Post a Comment

0 Comments