KKD akan bentang hala tuju 5G ke Kabinet


KEMENTERIAN
Komunikasi dan Digital (KKD) akan membentangkan dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) ke Jemaah Menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini pihaknya telah bertemu dengan Kementerian Kewangan, pengendali syarikat komunikasi dan pihak DNB untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

“Perbincangan hala tuju itu masih memerlukan sedikit masa lagi, kita telah mendapat maklum balas daripada semua pihak dan pada waktu ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Kewangan sedang meneliti apakah langkah dan kesan sekiranya kita mengambil sebarang pilihan yang dilakukan.

“Saya jangka sebelum penghujung suku pertama 2023, kita akan dapat bentangkan kepada Jemaah Menteri dan daripada situ saya percaya pihak kerajaan akan mengumumkan berhubung dasar pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama warga KKD Kelantan semalam.

Sebagai rekod pada Disember lalu, Fahmi menegaskan pihaknya mahu segera menyelesaikan isu rangkaian 5G di negara ini.

Langkah itu tegasnya bagi membolehkan rakyat, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat menggunakan infrastruktur tersebut sekaligus akan membantu melonjakkan aktiviti perniagaan industri atau kehidupan seharian,"

Sementara itu Fahmi ketika bercakap kepada pemberita semalam turut berkata pihaknya sedang dalam proses perbincangan untuk menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi bagi mengatasi masalah rangkaian Internet di beberapa kawasan yang terjejas.

Pusat atasi masalah rangkaian akan ditubuhkan
“Ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lepas, baginda ada sampaikan titah mengenai masalah Internet yang dihadapi komuniti di Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

“Kita lihat banyak masalah seperti itu dan saya telah minta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching untuk bekerjasama dengan SKMM untuk wujudkan satu pusat kawalan komunikasi dengan mengenal pasti lebih awal kawasan yang menghadapi masalah akses rangkaian Internet,” katanya.

Post a Comment

0 Comments