PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan dipimpinnya tidak akan meminggirkan negeri-negeri diperintah pembangkang.
Ketika mengadakan lawatan ke Perlis hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengusahakan beberapa tindakan bagi membantu negeri-negeri yang masih dianggap ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunan termasuk Perlis.
"Perlis sampai sekarang masih defisit dan bergantung untuk peroleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Dari sudut realiti saya tidak fikir pinjaman yang besar ini boleh dibayar.
“Saya dan rakan agensi pusat lain akan bersama kerajaan negeri fikirkan projek-projek yang boleh datangkan hasil baik dari segi pertanian, pelancongan dan perindustrian yang boleh memberi pulangan kepada negeri. Perlis akan diberikan keutamaan, ” katanya.
Terdahulu Anwar menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Kangar hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan lebih 1,200 kakitangan awam di negeri ini.
Mengulas hubungan antara Perlis dan Persekutuan, Anwar berkata hubungan kedua-dua belah pihak boleh dieratkan meskipun berlainan fahaman politik.
Ia terutama dalam memberi tumpuan kepada program-program yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri.
“Soal projek akan bincang dan Menteri Besar juga ada menghantar beberapa projek seperti Pelabuhan Sanglang, Perlis Inland Port (PIP) dan projek sekuriti makanan iaitu hal-hal yang akan diberikan tumpuan.
"Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan datang bakal diadakan di negeri ini.
"Ia bagi memuktamadkan beberapa projek yang dapat membantu merancakkan ekonomi Perlis," tambahnya sambil berharap kerajaan negeri menggunakan kesempatan itu untuk berunding mengenai projek yang berpotensi untuk dilaksanakan.
Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menunaikan janji untuk berkunjung ke negeri itu.
Beliau turut menyatakan rasa terima kasih kepada komitmen dinyatakan Anwar untuk membantu negeri itu seperti dibincangkan dalam pertemuan sebelum ini.
K'jaan tak sisih negeri pembangkang |
“Bagi sebuah negeri yang keluasannya hanyalah 819 kilometer persegi dengan penduduk seramai 284,000 orang, projek bernilai ratusan juta ringgit sudah boleh dianggap sebagai projek mega,” katanya.
0 Comments