Isu tertangguh M'sia - Indonesia selesai tahun ini, kata PM


MALAYSIA
bertekad untuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit antara negara ini dan Indonesia menjelang hujung tahun ini.

Pendirian itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan bersama Presiden Republik itu, Joko Widodo di Istana Bogor, Jakarta, tengah hari tadi.

"Ada isu spesifik  dan saya sepakat dengan bapak presiden dalam hal hal yang harus dimeterai dan dilaksanakan.

"Bila kita bicara tentang mesyuarat, itu bapak presiden katakan sudah ratusan mesyuarat dan bertahun tahun.

"Saya beritahu bapak presiden, kita ada tekad politik yang jelas untuk menyelesaikan permasalahan asas itu selewatnya akhir tahun ini," katanya.

Perdana Menteri turut mengulas isu berkenaan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI), penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan yang sering menjadi perkara utama antara kedua-dua negara.

Beberapa masalah membabitkan isu tersebut akan ditangani dengan baik bagi memastikan keharmonian hubungan kedua-dua negara.

"Isu pekerja dan TKI. Kita inshaAllah akan hindari isu yang boleh meretakkan hubungan kerana kita tahu hubungan Malaysia dan Indonesia itu kategorinya special.

"Saya telah memberi jaminan kepada Presiden, bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Kedua pemimpin sepakat membangun bersama
"Pengakuan kami berdua untuk pastikan agensi pekerjaan (di kedua dua negara) ini tidak ambil keuntungan berlebihan di peringkat bawahan. Digitalisasi unit ini penting kerana akan kurangkan karenah birokrasi," katanya.

Pada pertemuan itu juga, Anwar melahirkan rasa gembira serta terharu kerana beliau dan Jokowi dapat berbincang secara terbuka dan berlapang dada mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi keutamaan kepada Malaysia dan Indonesia.

Post a Comment

0 Comments