Pelan pemulihan atasi isu keciciran pelajar sedang dirangka


KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) sedang merangka pelan pemulihan bagi mengatasi masalah keciciran pelajar sekolah dalam sistem pendidikan nasional di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut dipandang serius pihaknya sangat mengalu-alukan maklum balas dan data-data daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kajian mengenai isu tersebut.

"Isu ini penting malah daripada awal lagi KPM dalam tujuh teras yang dibentangkan antaranya menangani isu keciciran pelajar.
 
"Kita memang dapatkan maklum balas dari semua pihak yang buat kajian tentang isu keciciran ini.

"Jadi kita boleh buat intervensi (langkah) bersama dan pada masa sama boleh lihat sama ada program yang dilakukan KPM (atasi keciciran pelajar) efektif atau tidak dalam menangani isu ini," kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelumnya bercakap dalam satu sidang media ketika program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Bukit Panchor, Pulau Pinang.

Terdahulu, beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir yang dilaporkan berkata kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.


KPM sambut baik maklum balas NGO
Zul Fikri berkata, masalah tersebut yang antaranya berpunca dari penutupan sesi persekolahan selama 42 minggu akibat pandemik Covid-19 sebelum dibimbangi memberi kesan jangka masa panjang terhadap kualiti hidup golongan pelajar terbabit.


“Saya harap NGO itu (Untuk Malaysia) dapat datang ke KPM bersama data (hasil kajian) untuk bersama-sama berbincang," tambah Fadhlina lagi.

Post a Comment

0 Comments