PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan bahawa Malaysia perlu dibebaskan dari kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk kayakan diri sendiri dan ‘puak’ mereka.
Berucap dalam majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di Indonesia di Kedutaan Malaysia di Jakarta malam tadi, Anwar menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur sama sekali mengenai kegelojohan tersebut walaupun mungkin ia akan menggugat kedudukannya selaku Perdana Menteri.
“Kita juga sudah mual dengan orang yang berbicara soal demokrasi atau ketuanan Melayu atau tunggak Islam tetapi mengkhianati amanah dengan guna kuasa untuk merebut harta pusaka yang bukan hak mereka.
“Saya tidak akan membuat penyiasatan atau pendakwaan terpilih tetapi percaya, sebagaimana didukung rakan-rakan saya di jemaah menteri, arahan kita kepada semua penguatkuasaan, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Bank Negara Malaysia dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk menunjukkan kekuatan semangat baharu memastikan dalam tempoh terdekat ini kita hentikan budaya ini,” katanya.
Beliau seterusnya mengulangi tekad Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk meyakinkan semua pihak bahawa badan kehakiman perlu bebas daipada pengaruh Eksekutif atau politik.
Dalam ucapan itu juga, Perdana Menteri turut menyentuh beberapa perkara lain antaranya soal ketegangan sosial kaum dan agama di Malaysia.
Perkara itu tegasnya tidak harus diteruskan kerana ia adalah bibit ‘anai-anai yang boleh merosakkan gedung, bahtera negara merdeka ini.
“Tapi ternyata sekarang rapuh. Ia bukan berpunca mahasiswa, peniaga, rakyat tetapi daripada gelagat tokoh-tokoh politik yang terjerat dengan masalah mereka dan mahu lari dengan mengemukakan satu pendirian yang melampau, menggunakan kaum dan agama, cara fanatik dan taksub,” kata Anwar.
Ketika mengulas perubahan di Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perdana Menteri berkata, rakyat sudah menyaksikan perubahan dan keputusan raja-raja Melayu yang telah mengangkat barisan baharu pimpinan negara.
“Bagi saya, perubahan itu mestilah bermakna. Ia tak boleh teruskan kaedah lama melainkan hal-hal yang telah disepakati dan berfaedah. Saya tak tolak semua yang lama kerana ada sumbangan yang baik dan boleh diperbaiki.
“Tapi tentunya negara yang dianggap sedikit dewasa harus membuat penilaian tentang kekuatan dan kelemahan kita.
"Apa kekuatan kita? Negara aman, keselamatan terjamin, dapat pacu ekonomi yang agak melegakan, terutamanya pada 1970-an, 1980-an dan 1990-an, industri, kepelbagaian kaum, ada Melayu Cina, India, SAbah Sarawak. Bagaimana kita mengangkat negara dengan ekonomi yang kuat dan utuh di ASEAN.
PM ulang pendirian tak kompromi dengan rasuah |
Beliau turut menegaskan, tumpuan negara sekarang jelas untuk membangun ekonomi.
Justeru beliau berharap semua pihak berperanan memacu pembangunan ekonomi yang segar dan meyakinkan.
0 Comments