Anwar tak mahu permusuhan politik di M'sia terus 'tajam'


PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan sifat kerendahan hati apabila menegaskan tidak mahu polemik 'permusuhan' antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohammad berterusan.

Bercakap dalam temu bual Nation Hub: Special Interview Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di saluran CNBC Indonesia TV, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata semua pihak kini perlu melangkah ke hadapan dengan menerima hakikat bahawa rakyat sudah memberi mandat kepadanya untuk menerajui kerajaan.

"Rakyat sudah memilih dan kita diberi mandat untuk menjalankan kerja, saya tumpukan ke arah itu... tapi saya juga tidak mahu ini dianggap permusuhan (dengan Tun Dr Mahathir) berterusan... tidak perlulah," katanya.

Anwar sebelumnya ditanyakan mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri itu yang sering menjadi tumpuan dan polemik pelbagai pihak.

Sementara itu, ditanya mengenai suasana politik Malaysia, Anwar akui keadaan politik di Malaysa berbeza dengan Indonesia dan beberapa negara lain.

Permusuhan politik Malaysia disifatkannya sebagai 'terlalu tajam' sehingga ada sesetengah pihak menjadi cenderung bersikap ekstremisme sehingga sanggup mengkafirkan pihak lain.
 
"Misalnya, saya lihat nada anak muda juga pada masa sekarang dengan bulan lalu, sangat berbeza… ertinya mereka mengamalkan sikap terbuka dan tidak terkongkong dengan pemikiran yang jumud atau konservatif dan mereka juga menilai kita.

"Tapi sekurang-kurangkan kita (Kerajaan Perpaduan) cepat bertindak (ubah kepada cara baharu) dengan memikirkan soal negara, masa depan dan kestabilan politik hingga berjaya membentuk penggabungan dengan pendirian tatakelola baik dan menolak korupsi dan prinsip ini telah disepakati.

PM tak mahu layan 'karenah' tak releven
"Saya harap pembangkang kita (di Malaysia) juga tidak terlalu mempertajamkan (permusuhan) dan saya juga minta mereka hindari daripada mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengkafirkan orang...jika ini dapat diringankan, kita boleh berdialog dengan lebih baik," katanya.

Anwar dalam temu bual itu turut menekankan tumpuannya kini adalah melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dan enggan melayani 'kerenah' atau 'celoteh' yang tidak relevan.
 

Post a Comment

0 Comments