Veteran politik ingatkan PM, banyak 'tangan' mahu segera jatuhkannya



SEORANG veteran politik negara, Lim Kit Siang mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa banyak kuasa-kuasa politik yang sedang cuba untuk menamatkan riwayat kerajaannya seawal yang mungkin.

Melalui satu kenyataan, Lim berkata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu perlu menghayati pengajaran paling penting dari kejatuhan kerajaan HARAPAN selama 22 bulan lalu.

Mengambil kira tiada jaminan bahawa kerajaan yang ada mampu bertahan untuk tempoh lima tahun, beliau menggesa Anwar melaksanakan sebanyak mungkin reformasi institusi.

Beliau turut menasihatkan Anwar untuk mengabaikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba memperlekeh kemampuannya dalam usaha memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
 
“Mahathir telah terlepas peluang untuk berbuat demikian dan Anwar tidak boleh mengulangi kesilapan sebegini,” katanya.

Mahathir melalui satu temu bual eksklusif dengan Berita Harian baru-baru ini mempersoal keupayaan Anwar untuk mengetuai Malaysia dalam usaha negara memulihkan ekonominya dan berdepan cabaran pasca pandemik.

Bekas Pengerusi Pejuang itu berkata, ia terbukti berdasarkan pretasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada 1997.

Bagaimanapun kenyatan Mahathir itu ditempelak ramai, malah turut disifatkan sebagai satu kenyataan yang lahir dari perasaan iri hati.

Malah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, Nazri Aziz tampil mempertahankan Anwar dari serangan Mahathir dengan berkata, walaupun ketika itu Anwar dilantik memangku jawatan tersebut, namun Anwar tidak diberikan kuasa sewajarnya untuk membuat keputusan

BACA: Serangan Tun M terhadap Anwar didorong rasa iri hati
BACA: Nazri Aziz jawab serangan terbahru Tun M pada Anwar

Sementara itu, Lim berkata, sejak dilantik sebagai menerajui kerajaan, Anwar jelasnya telah membuat beberapa tindakan yang tepat, terutama apabila beliau berani menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri dalam sidang dua hari pada minggu lalu.

Anwar jangan ulang kesilapan dibuat Tun M
Justeru Anwar jelasnya wajar menjadikan persidangan Dewan Rakyat yang bakal diadakan selepas ini sebagai platform melaksana agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.

“Anwar patut menjadikan sidang Dewan Rakyat pada Februari 2023 sebagai sebuah sidang yang paling penting dan bersejarah dengan melaksanakan beberapa reformasi institusi dengan cara memulakan proses untuk menghentikan kemerosotan negara dalam enam dekad yang lepas untuk mengembalikan tempat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia,” katanya melalui kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments