KDN teliti langkah selesai isu kewarganegaraan


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti langkah yang boleh dilaksana bagi penyelesaian isu kewarganegaraan yang berbangkit di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan mengambil kira keresahan yang disuarakan banyak pihak, isu kewarganegaraan itu kini dibawah perhatian beliau.

"Dalam perbincangan awal dengan pegawai-pegawai kanan jabatan berkenaan, saya dapat pandangan dari perspektif perundangan, dan saya sampaikan juga  pandangan awal saya dan sesuatu mesti bahawa sesuatu mesti diusahakan dengan lebih serius.

"Dari perspektif undang-undang, Negara kita memang tidak mengiktiraf dwi-kerakyatan.

"Namun di satu sisi lain, mesti ada elemen kemanusian dalam perkara ini, perlu ada budi bicara dalam hal ini," tegasnya.

Sebelum ini, wujud gesaan kepada kerajaan agar meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Ia bagi  menjamin tiada perbezaan layanan antara ibu dan bapa dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.
 
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di bawah seksyen 1(c) Bahagian II Jadual Kedua hanya membenarkan bapa warganegara Malaysia untuk mendaftar kelahiran anaknya di pejabat Kedutaan Malaysia di negara berkenaan, walaupun ibunya bukan warganegara.

Bagaimanapun hak sama tidak diberikan di bawah peruntukan itu kepada ibu warganegara untuk mendaftar kelahiran anaknya, jika bapanya bukan warganegara.

Dalam Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, tiga blok utama bertanding iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kewarganegaraan anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

Perlu ada elemen kemanusiaan dalam isu terbabit
"Isu kewarganegaraan ini kalau kita nak usahakan sebarang pindaan di peringkat undang-undang, pindaan ini perlu ikut mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan dengan Perkara 159(5) Perlembagaan.

“Ini antara fokus awal saya selepas sesi-sesi taklimat untuk saya tekuni dan kemudiannya kemukakan suatu syor jalan keluar supaya kemelut ini tidak berterusan dalam menguruskan soal kewarganegaraan” kata Saifuddin ketika mengulas isu tersebut.

Post a Comment

0 Comments