Saifuddin fokus selesai isu kebajikan anggota polis



Isu penambahbaikan kuarters, tempat kerja kondusif dan cadangan pemberian elaun khas kepada pasukan khusus Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara isu yang diberi perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjadi tetamu dalam satu sesi wawancara oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam program Naratif khas berkata, semua perkara itu antara perkara utama yang mahu dilaksanakannya.

"Keazaman awal saya tatkala diberi peluang memimpin kementerian ini adalah memberi fokus kepada aspek kebajikan anggota termasuk kuarters tempat tinggal mereka.

"Walaupun tidak keseluruhan nampak berat, ada keadaan tertentu kediaman itu perlukan perhatian segera.

"Kalau tak ditangani itu akan menjejaskan moral anggota. Saya akan cuba memastikan aspek ini ditangani dengan baik," katanya.

Difahamkan antara isu yang sering dibangkitkan anggota adalah berkaitan isu lif dan bekalan air.

Saifuddin juga memaklumkan kementeriannya sedang mempertimbangkan elaun khas untuk anggota yang menjalani latihan untuk menyertai Unit Tindakan Khas (UTK).

Saifuddin mahu wujudkan persekitaran kerja kondusif
Ia susulan kesukaran yang terpaksa dihadapi pelatih sepanjang tempoh latihan

"Pasukan khusus dalam PDRM contohnya UTK, di mana mahu melahirkan seorang anggota.. setiap 100 orang yang dilatih hanya kira-kira 15 saja yang lulus.

"Dibincangkan apakah wajar untuk mereka (pelatih) ini diberi elaun khas kerana perit jerih dan susah payah mereka tempuhi ujian dan modul latihan berat sehingga jadi anggota polis terbaik.. itu juga saya nilaikan sebagai kebajikan para anggota," jelas beliau.


 

Post a Comment

0 Comments