Tuduhan Mas Ermieyati tak benar - TPM


DAKWAAN
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin bahawa perjanjian persefahaman ditandatangani parti-parti dalam kerajaan perpaduan tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator dibidas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada satu sidang media di Kuching semalam, Fadhillah menegaskan dakwaan Mas Ermieyati sebagai tidak benar kerana perjanjian persefahaman itu jelas menyatakan kesemua parti komponen dalam kerajaan masih boleh berunding sesama sendiri bagi mencapai kata sepakat.

Beliau malah mencabar mana-mana pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk diputuskan oleh badan kehakiman.

“Dalam perjanjian itu menyatakan mana-mana pihak (kerajaan) yang tidak berpuas hati hendaklah berunding dengan semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, jadi kita berundinglah.

“Untuk memastikan wujudnya kestabilan politik, kita perlu memastikan tidak akan wujud undi tak percaya (kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Kita ada tiga perdana menteri sebelum ini dan satu daripada sebabnya kerana isu undi tak percaya,” katanya dipetik laporan Bernama.

Terdahulu pada Jumaat, lima blok utama yang membentuk kerajaan secara bersama menandatangani perjanjian persefahaman. Turut bersama adalah Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) serta calon-calon bebas.

Kerjasama yang membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat itu diyakini mampu mewujudkan kerajaan stabil sehingga berakhir penggal Parlimen ke-15.

Perjanjian masih benarkan rundingan diadakan
"Matlamat asas perjanjian persefahaman itu adalah untuk menjamin kestabilan politik yang akan memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negara.

"Saya berharap Kerajaan Perpaduan yang terbentuk akan bertahan sehingga tamat penggal serta memberi fokus ke arah urus tadbir negara yang baik," tegas Fadhillah.

Post a Comment

0 Comments