Johari Abdul kosongkan kerusi DUN, bakal dilantik Speaker ?


AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERIUndangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi ini.

Johari berkata, keputusan itu disampaikan menerusi sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah Juhari Bulat.

"Saya telah mengutus sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah Juhari Bulat mengenai perletakan jawatan sebagai Adun Gurun dan surat terbabit telah diterima bertarikh pada 13 Disember 2022.

"Dalam surat tersebut dinyatakan bahawa peletakan jawatan saya berkuatkuasa serta-merta dari tarikh surat itu diterima oleh pihak Speaker," katanya.

Johari yang merupakan bekas Pengerusi KEADILAN negeri Kedah tidak  menyatakan sebarang sebab tindakannya itu.

Namun ia dipercayai ada kaitan dengan spekulasi sebelum ini bahawa beliau antara calon disenaraikan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal ke-15 yang akan bersidang buat kali pertama esok.

Sumber Pejabat Parlimen memaklumkan seseorang ahli politik yang tercalon bagi jawatan Speaker Parlimen harus melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat di peringkat DUN negeri bagi mengelakkan pertindihan tugasan.

Sementara itu dalam surat pengosongan kerusi itu, Johari turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi-pengundinya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana.

"Tuan-tuan dan puan-puan telah pun berikan kerjasama yang luar biasa, kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

"Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam memakmurkan dan membangunkan negeri Kedah," katanya.

Johari diyakini mampu galas tugas dengan baik


Johari merupakan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah, menjadi ADUN Gurun sejak 2018 selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 4,207 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.


Pada Pilihan Raya Umum lalu, Johari mengumumkan tidak bertanding. kekosongan itu digantikan anaknnya yang juga Ketua Angkatan Muda (AMK) Kedah , Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil HARAPAN menang di Kedah.
 

Post a Comment

0 Comments