Sektor kesihatan sangat dekat dihati Dr Zaliha


DR ZALIHA MUSTAFA  merupakan wanita pertama di negara ini yang diberi kepercayaan untuk mengetuai kementerian Kesihatan apabila dilantik sebagai Menteri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen KEADILAN mewakili Parlimen Sekijang di Johor merupakan salah seorang dari dua pimpinan wanita dari parti itu diberi kepercayaan menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan dibawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui satu kenyataan, Zaliha menyifatkan pelantikkannya adalah suatu amanah besar, namun gembira bidang kesihatan sememangnya dekat dihati beliau.
 
"Memegang portfolio kesihatan adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Alhamdulillah Perdana Menteri ke-10 mendengar luahan akar umbi dan rakyat supaya portfolio ini disandang oleh seorang pengamal perubatan, dan perkara ini sudah ditunaikan.

"Saya yakin kementerian ini amat penting kerana menjadi fokus utama rakyat Malaysia khususnya di era pasca pandemik," ujarnya.

Sebagai rekod, Zaliha merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti KEADILAN, dilahirkan pada 16 Jun 1964 di Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (TIGS) sebelum menruskan pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Bahru pada 1981.

Pada 1982, beliau menyambung pengajian di Matrikulasi MRSM Seremban dan seterusnya ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1983. Dr Zaliha memulakan kerjaya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Beliau kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Dari segi pentadbiran politik, Zaliha yang menyertai politik pada 1999 sebagai Ketua Wanita KEADILAN Johor dan enam tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN negeri sebelum menjawat jawatan Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat pada 2007.

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN pada 2018 dan dua tahun kemudian, dilantik sebagai Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan parti itu.

Ketika mengulas visi awalnya setelah dilantik sebagai menteri, Zaliha berkata mahu menumpukan beberapa isu kritikal dihadapi sektor kesihatan antaranya membabitkan isu perbekalan ubatan, infrastruktur serta keperluan kesihatan serta hospital selain isu penempatan doktor siswazah.
 
"Urusan lazim harian Kementerian Kesihatan seperti isu perbekalan ubat-ubatan, isu infrastruktur dan pelbagai keperluan kesihatan dan hospital selain isu penempatan doktor siswazah harus difokuskan.

"Selain itu, halatuju pakar-pakar yang seimbang, isu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan memenuhi keperluan rakyat, isu golongan marginal, isu kesihatan mental juga harus diberi perhatian kembali.

"Sudah pasti keutamaan terdekat adalah meneliti persiapan Belanjawan 2023 yang akan dibentang dalam sidang parlimen bermula 19 Disember 2022 ini.

"Mudah-mudahan sektor kesihatan akan diberikan peruntukan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan," katanya.

Dr Zaliha harap dukungan penjawat awam
Sementara itu beliau mengharapkan sokongan dan dukungan penjawat awam dan pakar-pakar pengamal perubatan dalam menjayakan setiap perancangan yang direncana kelak.

"Pengalaman, kepakaran, dan kecekalan penjawat awam dan pakar pengamal perubatan sudah pasti diharapkan supaya sektor kesihatan di negara ini mampu menyaingi perkhidmatan negara maju yang lain," katanya.


Post a Comment

0 Comments