PN digesa fokus jadi pembangkang, jangan buang masa menghasut


PIHAK
Pembangkang disaran supaya tidak membuang masa menghasut ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menentang usul kerajaan di Dewan Rakyat.
 
Ahli Parlimen Tampin, Mohd Isam Mohd Isa menegaskan hasutan oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu satu tindakan tidak wajar, sia-sia dan perlu dihentikan.

"Pilihan raya umum (PRU) dah habis. Jadi semuanya sudah ok, sudah jelas. Kerajaan pun dah ada.

"Tak perlu buang masa, fokuslah untuk membantu rakyat. Tak kiralah kita ni kerajaan atau pembangkang yang telah dipilih oleh pengundi. Jadi fokus sajalah dan tunggu lima tahun lagi, lawanlah,' katanya dipetik laporan Sinar.

Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang menyarankan mana-mana Ahli Parlimen BN/UMNO yang masih punya hati untuk tidak berteduh di bawah kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya menentang usul kerajaan di Parlimen.

Pemimpin PAS itu turut berkata, PN bersedia untuk berunding dan menawarkan logo jika berlaku pengosongan kerusi dan pilihan raya kecil (PRK) sekiranya Ahli Parlimen yang menolak usul kerajaan terpaksa mengosongkan kerusi mereka.

Gesaan itu dipercayai ada kaitan dengan agenda utama sidang Dewan Rakyat esok yang antaranya akan menyaksikan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Sementara itu Mohd Isam percaya adalah mustahil berlaku penentangan usul kerajaan di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen BN/UMNO terutamanya.

Jangan 'bunuh' harapan rakyat dengan cetus krisis
Ini kerana wakil rakyat parti itu jelasnya sudah menerima keputusan PRU lalu dan komited untuk bersama kerajaan untuk membangun semula negara.

 "Saya rasa ahli-ahli parlimen UMNO/BN dah terima seadanya keputusan parti. Jadi tak akan berlakulah penentangan tu.

"Kita sendiri dah ada komitmen kita kepada parti, komitmen kita untuk menjaga masyarakat," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments