Rafizi jawab Mahiaddin: MoU untuk selamatkan negara dari 'katak'


PERJANJIAN persefahaman (MoU) ditandatangai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada Jumaat disifatkan langkah jauh lebih demokratik, berbanding apa yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Md Yassin,

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli melalui satu hantaran video di Facebook berkata, 148 Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan sebenarnya bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan masing-masing kecuali dalam perkara bersabit dengan keabsahan seperti yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Anti Lompat Parti.

"Selalunya ada dua bentuk undi di Parlimen yang bersabit keabsahan kerajaan. Pertama, jika ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, keduanya, undian kepada bajet tahunan dibuat.

"Selain daripada dua undi ini sebenarnya Ahli Parlimen bebas untuk mengundi mengikut pandangan masing-masing dan itu tidak tertakluk kepada Fasal 4 dalam perjanjian ini.

"Bagi saya ini jauh lebih demokratik, berbanding dengan keadaan berlaku sebelum ini sewaktu Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

"Ketika itu apabila nampak sudah hilang majoriti dia menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba untuk mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen pun, sebab itu agak lucu apabila satu-satunya reaksi daripada PN adalah kononnya ini satu langkah berbahaya ke arah wujud diktator di bawah Perdana Menteri ke-10," katanya.

Beberapa orang pemimpin PN sebelum ini mengkritik MoU yang ditandatangani, Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin menganggapnya sebagao tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator.

Presiden parti itu, Mahiaddin pula berkata ahli parlimen kerajaan tidak boleh dipaksa untuk memberikan undi tertentu, walaupun gabungan dalam kerajaan.  

Walau bagaimanapun menurut Rafizi ketegasan dalam perjanjian itu perlu ada bagi memastikan kerajaan sedia ada tidak lagi tergugat sehingga akhirnya akan menyebabkan usaha mentadbir negara akan terjejas.

"Kenapa perlu ada perjanjian?, sebab kita nak selamatkan negara ini daripada menjadi mangsa 'katak-katak' politik.

"Budaya menggunakan 'katak-katak' politik untuk membentuk kerajaan ini dimulakan Mahiaddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa Langkah Sheraton dulu.

"Kita ingat dengan adanya Akta Lompat Parti mereka sudah serik dan perkara ini tidak akan berulang, rupa-rupanya tidak. Sebaik saja keluar keputusan PRU15, PN cuba 'menculik' 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Mahiaddin menjadi Perdana Menteri tanpa persetujuan BN," tegas Rafizi.

Beliau yang juga menteri ekonomi turut menegaskan, sekiranya budaya dimulakan Mahiaddin itu tidak dihalang, negara akan terus menjadi kucar-kacir kerana kerajaan dibentuk atas sokongan peribadi Ahli Parlimen, bukannya daripada persetujuan parti-parti.

"Ini memberi nilai kepada Ahli Parlimen perseorangan dan akan terus berlaku tawar-menawar dan saling jatuh-menjatuhkan untuk mendapatkan jawatan. Kita pun tidak tahu apa yang ditawar dan dijanjikan Mahiaddin kepada 10 orang Ahli Parlimen BN," katanya sambil menjelaskan draf asal perjanjian yang dirangkanya itu adalah untuk memastikan kestabilan politik dan membaiki keadaan ekonomi negara.

Perjanjian lebih demokratik berbanding zaman PN


"Sebarang pembentukan kerajaan perlulah berlaku di antara sesama parti bukan di antara Ahli Parlimen perseorangan seperti yang Datuk Seri Azmin Ali buat dulu.


"Bila ada perjanjian seperti ini maksudnya penyertaan parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan sudah menjadi dasar dan pendirian parti itu.

"Sekiranya dalam pengundian membabitkan keabsahan Kerajaan Perpaduan ada Ahli Parlimen dari mana-mana parti yang cuba sabotaj atau dibeli hingga menjejaskan keabsahan Kerajaan Perpaduan, tindakan itu dikira sebagai melanggar pendirian dan kedudukan mereka di dalam parti," katanya lagi.



Post a Comment

0 Comments