Pemuda PN cakap tak serupa bikin - AMK

 


TINDAKAN Pemuda Perikatan Nasional (PN) memfailkan laporan polis berkaitan perjanjian persefahaman kerjasama yang dimeterai pemimpin parti kerajaan diumpamakan cakap tidak serupa bikin.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Haziq Azfar Ishak melalui satu kenyataan berkata, sebelum ini ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama kerajaan terdahulu, isu serupa tidak dibangkitkan.

“Di manakah Pemuda PN ketika Pakatan Harapan menandatangani MOU bersama kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tatkala puak PN turut menerima laba politik hasil termeterai persefahaman ini.

“Pemeteraian set perjanjian seperti Confidence and Supply Agreement (CSA) yang mengikat komitmen undian setiap anggota yang bernaung bawah sesuatu koalisi atau parti politik adalah amalan biasa yang tak pernah mereka pertikai sebelum ini,” katanya.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad membuat laporan polis berkenaan apa yang didakwanya “pakatan jahat” antara pemimpin parti pemerintah.

Ia berkaitan perjanjian persefahaman kerjasama, yang menurut Ahmad Fadhli sebagai merosakkan dan memudaratkan demokrasi.
 
Sementara itu Haziq Azfar menegaskan bahawa pemeteraian perjanjian sememangnya suatu konvensyen bagi parti koalisi bagi mengikat komitmen bagi mengukuhkan kestabilan mahupun memperkemas hala tuju kerajaan.

Justeru beliau mengingatkan supaya pihak terlibat berhenti bermain pertikaian terminologi pembentukan kerajaan perpaduan dan ‘move forward’ dengan menjalankan tugas mereka sebagai pembangkang.

“Masalah anak muda yang substantif adalah jauh lebih banyak berbanding fokus pertikaian terminologi seperti ini. Satu per tiga jurutera muda bergaji bawah RM2,000 sebulan, 55% pendapatan ibu bapa dibelanjakan untuk pendidikan tinggi.

“Isu-isu inilah yang perlu difokuskan sekiranya pembangkang benar serius mahu membantu membina negara dan membela nasib anak muda,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.

Berhenti mempertikai, fokus jadi pembangkang


Untuk rekod, kerajaan memberi jaminan tidak akan menyekat hak ahli parlimen untuk mengundi, selain daripada sebarang usul keyakinan dan perbekalan.

Rafizi Ramli antara pemimpin yang terlibat dalam draf awal perjanjian itu menjelaskan perjanjian itu mengikat dalam perkara berkaitan kesahihan kerajaan seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antilompat parti adalah bertujuan untuk memastikan kerajaan yang dibina tidak diruntuhkan pihak yang mahu merebut kuasa.


Post a Comment

0 Comments