Kestabilan kerajaan dapat tambah keyakinan pelabur


USUL percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijalankan semalam dianggap satu tindakan penting bagi memastikan usaha memulihkan ekonomi negara dapat dijalankan dengan lancar.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani ketika menyokong usul itu berkata, dengan membawakan usul percaya itu ia sekaligus dapat memulihkan kembali keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

Tambahnya, sebarang ketidaktentuan politik yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun lalu mesti dihentikan. Sekiranya ia berterusan, Malaysia berisiko ketinggalan jauh di belakang negara jiran dari segi pembangunan ekonomi.

“Kita telah membuang masa dengan tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun lalu dan ketinggalan di belakang jiran serantau

“Saya cuma hendak tekankan satu perkara sangat penting (dan) perkara ini kalau tidak diurus dengan betul dan teratur ia akan menjejaskan negara dalam masa lima atau 10 tahun akan datang,' tegasnya.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan kedua berkata, negara telah meminjam lebih RM1 trilion pada tahun 2017 hutang negara RM686 bilion.

Tetapi dalam masa empat tahun hutang itu jelasnya bertambah hampir RM400 bilion hingga mencecah RM1.2 trilion.

“Paling membimbangkan saya ialah pada tahun 2017 kita hanya bayar faedah RM27.9 bilion tetapi pada tahun 2022 bayaran itu mencecah RM43 bilion.

“(Jadi), kalau kita tidak urus perkara ini dengan betul dan rapi, nasib yang akan menimpa kerajaan Malaysia ini tidak berbeza seperti mana yang kita lihat berlaku di Sri Lanka,” katanya sambil berharap kestabilan politik yang dibentuk melalui kerajaan perpaduan pimpinan Anwar akan menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih besar.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof membentangkan usul percaya terhadap kepimpinan Anwar dan dibahaskan.

Undi percaya beri isyarat positik kepada pelabur


Selain Johari, 11 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan yang akhirnya diluluskan dengan undian suara sekali gus mengesahkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai perdana menteri ke-10.


Anwar sebelum ini menegaskan kerajaan dipimpinnya berusaha memulihkan semula ekonomi negara bagi memastikan kemakmuran rakyat.

Usul undi percaya yang diadakan semalam bagi memastikan tiada mana-mana pihak terus mempersoalkan jumlah sokongan dimiliki Anwar bagi mengetuai kerajaan persekutuan.

Post a Comment

0 Comments