Hentikan ekstrem kaum dan agama, titah Sultan Perak


SULTAN PERAK
, Sultan Nazrin Shah menitahkan agar pemimpin kerajaan negeri yang dilantik supaya menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan Perlembagaan serta berteraskan undang-undang.

Ketika menyampaikan ucapan dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari, Baginda Sultan mengingatkan kerajaan negeri yang baru ditubuh agar mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis.

Baginda juga menegaskan tidak mahu diskriminasi dan penindasan berlaku kepada mana-mana pihak.

“Oleh itu, rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan,” titah baginda.

Turut berangkat pada Istiadat itu ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sementara itu Sultan Nazrin juga mahu pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama, berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga dihentikan.

Sultan mahu eksploitasi agama dan kaum dihentikan 
“Tindakan tegas wajib diambil segera untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum,” titah baginda dipetik laporan Bernama.

Penduduk Perak berjumlah 2.52 juta orang, terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu 61.5% berbangsa Melayu dan Bumiputera, 26.7% bangsa Cina dan 11.3% India yang mengamalkan pegangan agama berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa.


Post a Comment

0 Comments