PM gesa Hamzah baca buku Qazaf tulisan Presiden PAS


PERDANA MENTERI
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Hamzah Zainuddin dengan meminta Ketua Pembangkang itu mendapatkan tarbiyah daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengenai isu qazaf


Gesaan itu dibuat Anwar susulan tindakan Hamzah yang dakwa Anwar telah secara licik melakukan serangan peribadi terhadapnya dengan membangkitkan isu homoseksual di Dewan Rakyat pada Isnin.

"Saya takkan ulas perkara itu (dengan lebih lanjut) kerana tentunya dia belum mendapat tarbiah daripada Marang (Presiden PAS, Abdul Hadi Awang), yang pernah menulis tentang qazaf.

“Saya syorkan buku itu dibaca oleh Ketua Pembangkang dan apabila baca al-Quran, terutama bagi kita yang tidak terdidik daripada sekolah agama atau sekolah Arab, bacalah dengan betul. Biar betul sedikit,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hamzah semasa membahaskan usul undi percaya terhadap Anwar telah memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita Itali, Agenzia Nova yang mengaitkan Anwar dengan kegiatan homoseksual.

Setiausaha Agung Bersatu itu juga mendesak agar Anwar mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berkenaan.

Walau bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kemudian tampil mendakwa kesahihan Agenzia Nova berkenaan adalah diragui, malah seseorang yang sudah menetap di Itali selama 33 tahun juga tidak pernah mendengar nama agensi berita tersebut.

“Kita kena sabar, tidak semua kenyataan (laporan media) itu bertanggungjawab.

"Contohnya Ketua Pembangkang bekerja selama hampir 25 tahun, mencerca, memfitnah, berkonspirasi, menyerang peribadi, menimbulkan fitnah dan diteruskan dengan cara lebih licik," tegas Anwar sebagai mengulas isu dibangkitkan Hamzah itu.

Sumber dipetik Hamzah boleh diragui
Sebagai rekod, Abdul Hadi pernah menulis buku berkenaan hukuman yang perlu dikenakan ke atas seseorang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat.

Buku Qazaf Mangsa Fitnah itu dihasilkan Abdul Hadi tidak lama selepas Anwar didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan pada akhir 1990-an lalu.

Tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi atas penghasilan buku tersebut, Anwar juga sempat berpesan kepada Hamzah agar mendalami kandungan naskhah tersebut.


Post a Comment

0 Comments