PELANTIKAN Izzana Salleh yang merupakan anak bekas menteri persekutuan, Shahrizat Abdul Jalil dalam Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menimbulkan reaksi kurang senang bagi beberapa pihak.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla dipetik laporan FMT berkata, tidak wajar bagi sebuah agensi kerajaan melantik individu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan pihak berkuasa persekutuan sendiri.
“Sangat salah untuk kerajaan tak tetapkan pendiriannya. Satu cabang kerajaan mendakwanya, manakala satu lagi memberinya jawatan pengarah.
“Kes itu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan memihak kepadanya, tiada masalah melantiknya sebagai pengarah,” katanya dipetik.
Izzana dilaporkan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Dis lalu, walaupun beliau dinamakan dalam saman kerajaan untuk menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd. Beliau ialah ahli lembaga pengarah NFC ketika itu.
Izzana bersama bapanya, Mohamad Salleh Ismail dan dua beradiknya disaman kerajaan berhubung skandal itu dan perbicaraan kes itu dijangka disambung bulan depan.
Selain Haniff, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali juga mengkritik lantikan itu.
Katanya, ia bertentangan tadbir urus baik dan mewujudkan persepsi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mula mengambil individu ada kaitan politik secara beramai-ramai.
“Dari segi tadbir urus baik, ia tidak kelihatan baik untuk MDEC. Ia memberi persepsi cara lama sudah kembali sejak Umno ambil alih semula tampuk pemerintahan.” katanya dipetik laporan serupa.
Sebelum ini, kerajaan dikritik melantik beberapa penasihat untuk perdana menteri, sedangkan kabinet kerajaan disifatkan sebagai terlalu besar dan membazir.
Sesetengah pihak melihat tindakan-tindakan itu bermotif politik demi memuaskan hati pemimpin-pemimpin politik parti tertentu.
Ahli akademik, Terence Gomez berkata, lantikan Izzana seolah-olah petunjuk GLC “digunakan secara tidak wajar” apabila individu yang dinamakan dalam saman persekutuandilantik ke jawatan penting.
“Apabila kerajaan menekankan untuk mewujudkan ekonomi digital berkembang maju, ini bukan masanya untuk pelantikan dalam MDEC yang dipertikaikan.” katanya.
Izzana turut dilaporkan memegang jawatan Pengarah dalam TalentCorp dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Keluarga Shahrizat terpalit skandal NFC |
Jurucakapnya, Alissa Rode berkata, proses penapisan pelbagai pihak perlu dilakukan bagi mengelakkan senario di mana jawatan dilihat sebagai keputusan politik atau bergaji buta semata-mata.
Muhammad Mohan daripada Transparency International pula menegaskan bahawa, walaupun Izzana dilihat cukup layak untuk jawatan itu, dia sepatutnya menolak pelantikan itu kerana disaman kerajaan.
0 Comments