Pegawai MOF sahkan ada pelanggaran prosedur serius era Mahiaddin


PEGAWAI Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan Mahiaddin Md Yassin, kata Perdana Menteri.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat Khas Kabinet semalam, Datuk Seri Anwar berkata, beliau  menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan.

"Beberapa langkah menyiasat perbelanjaan yang tinggi, mencecah hampir RM600 bilion tanpa tender itu bukan urusan saya untuk putuskan.

"MoF (Kementerian Kewangan) ada memberi makluman mengenai beberapa pelanggaran terbabit, tetapi ini terserah kepada siasatan untuk melihat sejauh mana pelanggaran, rasuah atau penyelewengan yang berlaku," katanya.

Sebelum ini banyak pihak termasuk dari Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) mahu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat sama ada berlaku penyelewengan membabitkan dana itu. Isu susulan perbelanjaan besar ditunjukkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Mahiaddin pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Mahiaddin bagaimanapun dalam satu kenyataan baru-baru ini menafikan ada melakukan penyelewengan dana berkenaan.

Sementara itu Anwar ketika diminta mengulas sama ada RCI akan ditubuhkan  bagi menyiasat perkara itu berkata perkara itu belum dibincangkan Kabinet.

"Ia belum dibawa dan dibincang oleh Jemaah Menteri, saya serah kepada rakan-rakan Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.

Belum putus sama ada perlu tubuh RCI


"Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman, ada beberapa pelanggaran serius terutama bila luluskan projek, perolehan terlalu banyak, 'marked up' tinggi, parti-parti tertentu belanja tinggi menunjukkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa," kata Anwar sambil menegaskan secara peribadi beliau tidak cenderung untuk menumpukan hal atau perkara lama sebaliknya mahu menumpukan kepada pengurusan ekonomi dan tadbir urus negara.


"Umpamanya beberapa langkah menyiasat perbelanjaan tinggi hingga RM600 bilion tanpa tender.

"Itu bukan urusan saya, tapi urusan Kementerian Kewangan untuk beri makluman tentang perbelanjaan itu, tapi kita serahkan kepada badan siasatan untuk sejauh mana pelanggaran rasuah berlaku," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments