WALAUPUN beberapa pihak mengkritik keputusan Datuk Seri Anwar untuk memegang portfolio kementerian kewangan, beberapa penganalisis ekonomi melihat keputusan itu sebagai satu tindakan tepat.
Antara mereka berkata, ketika negara sedang melalui tempoh kritikal apabila berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia serta domestik, keputusan perdana menteri itu sebenarnya boleh menetapkan hala tuju ekonomi dan kewangan negara.
Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, dipetik laporan Berita Harian berkata, Anwar memiliki kelebihan rangkaian terutama di luar negara dan kelebihan itu boleh diguna pakai untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion.
Kelebihan itu juga jelasnya mampu menarik pelabur asing supaya datang ke Malaysia.
"Kerajaan melalui dasar fiskal tidak boleh terus berbelanja dengan meningkatkan hutang untuk membangunkan ekonomi negara, ia perlu diimbangi dengan wang pelaburan terutama dari luar negara yang lebih banyak dari dahulu.
"Penasihat yang dilantik juga berupaya untuk membantu Kementerian Kewangan (MOF) bagi mencipta formula yang lebih mantap dan terkini untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
"Ini termasuk bersaing dengan negara jiran di ASEAN yang kini lebih berjaya dalam menarik FDI ke negara masing-masing," katanya.
Beliau turut tidak meragui fokus Anwar untuk mencari jalan menangani isu ekonomi dihadapi rakyat, ia jelasnya dapat dilihat apabila Anwar memulakan langkah pertamanya dengan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara sebagai selesai mengangkat sumpah.
"Sudah semestinya dasar-dasar fiskal di dalam kawalannya secara langsung melalui MOF dan juga dasar monetari yang diamanahkan kpd Bank Negara Malaysia (BNM) turut melaporkan secara langsung kepadanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan," katanya.
Pandangan sama turut dinyatakan Koordinator Penyelidik, Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Fakhrurrazi Rashid.
Tegasnya pelantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan bukan satu masalah kerana beliau sendiri mempunyai rekod trek sebagai menteri berkenaan sebelum ini.
Malah dengan adanya Menteri ekonomi, ia secara sendirinya dapat memastikan adanya elemen semak dan imbang agar setiap perancangan dibuat Menteri Kewangan boleh diselaraskan dengan keperluan ekonomi semasa.
"Kementerian Ekonomi memainkan peranan penting dalam menguruskan perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi meningkatkan nilai ekonomi dan produktiviti negara manakala Kementerian Kewangan berfungsi menentukan aspek perbelanjaan pengurusan dan belanjawan kerajaan.
![]() |
Langkah diambil ketika ini adalah tepat |
Fakhrurrazi turut berpandangan cabar utama yang bakal dihadapi Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi dalam masa terdekat ini adalah merangka Belanjawan 2023 dalam waktu seluruh dunia dijangka mengalami kemelesetan ekonomi yang memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
0 Comments