MEF sambut baik langkah k'jaan tangguh PGM untuk syarikat kecil



KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk syarikat yang mempunyai kurang lima pekerja disambut baik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu memberi kelegaan kepada syarikat mikro, kecil dan sederhana untuk mengimbangi kewangan mereka, dan lebih-lebih lagi sekali dengan cabaran ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

“Jumlah perusahaan sedemikian dianggarkan kira-kira 560,000. Penangguhan gaji minimum RM1,500 kepada Julai akan membolehkan mereka (sedikit masa) menumpukan pada pembinaan perniagaan dan aliran tunai mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 mula berkuatkuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.  

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada Selasa mengumumkan penagguhan selama enam bulan setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berikutan negara dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.

Sementara itu  Syed Hussain berkata MEF optimis apabila perniagaan berada pada kedudukan yang stabil, majikan yang berkenaan akan mematuhi keperluan gaji minimum.

Beri nafas lega untuk perniagaan kecil
“Majikan menghargai pekerja mereka, yang merupakan aset mereka. Ini adalah isu kemampanan dan memastikan perniagaan mereka terus hidup sambil mengekalkan kakitangan dan membina kedudukan kewangan mereka,
 
“MEF menghargai keprihatinan Sivakumar yang mendengar keperluan perniagaan. Mengekalkan lebih banyak perniagaan akan mencipta lebih banyak pekerjaan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments